Friday, June 4, 2010

04062010

4.6.2010
7.55am
Follower 9
counter 1/47

THURSDAY, JUNE 3, 2010

Kenapa Jerantut Perlu Sokong Logi Janakuasa Nuklear Lembah Tembeling?

Pada 3hb Julai 2010, sebulan dari sekarang Mesyuarat UMNO Bahagian Jerantut akan bersidang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Najib PM. Kehadiran PM amat ditunggu ahli-ahli UMNO dan rakyat Jerantut. Kali terakhir Dato' Seri Najib melawat Jerantut pada tahun 1997.

Kita Jerantut mengharapkan lawatan YAB PM memberi makna. Kita belum minta apa-apa pada PM yang boleh memajukan Jerantut dengan impak ekonomi dan sosial yang berskala besar kerana kita tidak pernah minta pun...

Oleh kerana WZWH seorang pemikir dan pengamal politik Jerantut yang ingin melihat Jerantut maju dan rakyatnya hidup makmur dan sejahtera maka satu usul perlu dibawa untuk dipertimbangkan oleh PM.

Usul yang ingin dibawa oleh WZWH bukanlah usul baru, ianya ialah idea lama Tun Razak atas nasihat pakar nuklear dan tenaga Rusia pada tahun 1960an bahawa Malaysia perlu mengorak langkah ke depan dalam menghadapi permintaan bekalan tenaga elektrik yang makin meningkat demi mencapai negara industri dan berdepan dengan krisis tenaga yang bakal meruncing masa depan.

Sebab itu Agensi Nuklear Malaysia atau dipanggil MINT, CRANE, PUSPATI, UTN ditubuhkan pada 19 September 1972 di Bangi, Selangor. Malaysia sebenarnya sudah ada loji janakuasa nuklear tapi hanya reaktor yang bersaiz kecil boleh menghasilkan tenaga elektrik 1MW bagi tujuan penyelidikan.

Oleh itu menjadi tanggungjawab WZWH untuk menerangkan kepada ahli-ahli UMNO dan rakyat Jerantut semua supaya faham kenapa usul logi janakuasa nuklear perlu dibina di Lembah Tembeling. Apakah kebaikan dan faedah yang Jerantut boleh dapat dari projek ini.

WZWH tidak ada kepentingan apa-apa. WZWH hanya ada idea yang ingin dilontarkan supaya PM Najib menimbangkan usul ini untuk faedah Jerantut dan negara.

Malaysia adalah sebuah negara industri ingin mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 maka pembinaan loji janakuasa nuklear perlu bagi menjana punca baru tenaga bagi menyokong perkembangan pesat industrialisasi negara untuk bersaing dengan lebih kompetitif dengan negara-negara maju.

Bila penghasilan tenaga berubah dari hidrokarbon seperti minyak, gas, dan arang batu yang kurang bersih kepada tenaga nuklear yang lebih bersih, mesra alam, efisien dan kos efektif maka sumber tenaga nuklear perlu dipertimbangkan pada masa depan bila negara akan menghadapi krisis tenaga menjelang 2019 menurut jangkaan Petronas.

Menurut Laporan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengenal pasti Pahang terutamanya Lembah Tembeling amat sesuai dijadikan tapak cadangan loji janakuasa nuklear kerana lokasi kawasan terpencil dan dekat dengan sumber air mengikut peraturan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air , Datuk Seri Peter Chin telah mengumumkan cadangan membina logi janakuasa nuklear telah diluluskan dan loji akan beroperasi dari tahun 2021 dengan cadangan untuk menggunakannya sebagai sumber tenaga alternatif menjelang 2025.

Empangan Hidro Bakun dengan keupayaan kapasiti 2400MW dibina untuk memenuhi permintaan tenaga yang makin meningkat dari kedua-dua Semenanjung dan Malaysia Timur. Perancangan untuk membekalkan tenaga dari Bakun ke Semenanjung melalui kabel dasar laut dibatalkan kerana Kerajaan Sarawak membuat keputusan mahu mengguna tenaga Bakun sepenuhnya bagi industri melebur aluminium dan keperluan tenaga bagi Sarawak dan Sabah. Lagi pun projek menyalurkan tenaga elektrik melalui kabel dasar laut sepanjang 1400 km itu belum dilaksana di dunia. Kosnya yang besar melebihi RM2 bilion boleh diguna membina berapa empangan hidroelektrik lagi.

Terputus bekalan tenaga dari Bakun, Semenanjung Malaysia akan menghadapi cabaran krisis tenaga akan datang. Malaysia terlalu bergantung kepada sumber tenaga yang dihasilkan dari gas dan arangbatu. Dengan kekurangan bekalan gas yang makin meyusut dan kenaikkan harga arang batu, kerajaan menjangka rizab margin 40% bagi Semenanjung akan jatuh kepada 0% pada tahun 2017 jika pengeluar IPP tidak disambung kontrak. Buat masa ini penggunaan elektrik di Malaysia ialah 14000MW sementara kapasiti maksimun negara ialah 23,000MW.

Kita lihat, di Jepun terdapat 55 buah logi janakuasa nuklear yang boleh menyalurkan 49,467MW kepada keperluan domestiknya. Kejayaan Jepun dan China telah mempengaruhi negara-negara dirantau Asia memiliki sumber nuklear seperti China (40 loji), Korea Selatan (18 loji), Taiwan (8 logi) dan Korea Utara (6 logi)

Baru-baru ini kerajaan Turki telah menandatangani perjanjian bernilai US20 bilion (RM80 bilion) dengan Rusia untuk membina 4 buah reaktor nuklear. Disamping itu negara-negara rantau Asean telah mengumumkan hasrat mereka untuk membina logi janakuasa nuklear. Thailand umum pada tahun 2021, Vietnam umum pada tahun 2018 dan Indonesia telah umum pada tahun 2016.

Kita boleh lihat perlumbaan pembinaan logi janakuasa nuklear di rantau Asean telah bermula. jika kita ketinggalan, kita tidak dapat menguasai teknologi nuklear seperti negara Islam Pakistan dan mungkin Iran. China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Korea Utara dan India telah menguasai. Sekarang Thailand, Vietnam, Indonesia sudah mengorak langkah..., Malaysia pun mesti bergerak sekarang!

Maka WZWH mencadangkan kepada kerajaan supaya membina loji janakuasa nuklear di Lembah Tembeling, Jerantut Pahang.

Jika kerajaan dibawah kepimpinan YAB PM Dato' Seri Najib bin Tun Razak ingin melaksanakan projek logi janakuasa nuklear keupayaan kapasiti 1000MW untuk menjana punca baru tenaga elektrik bagi menyokong perkembangan pesat industrialisasi negara untuk bersaing dengan lebih kompetitif, kos pembinaannya dianggar RM9 bilion. Projek ini memberi peluang pekerjaan kepada 4000 pekerja profesional, separa profesional, mahir, dan buruh.

Soalnya lebih murah untuk negara buat sekarang daripada menangguhkannya ke suatu masa depan . Projek pembinaan logi janakuasa nuklear memberi pulangan kepada negara dari segi jangka panjang dan sememangnya memberi impak besar kepada ekonomi Jerantut.

Kita mohon YAB PM Dato' Seri Najib membina dengan segera projek logi janakuasa nuklear di Lembah Tembeling yang bakal dikenal pasti tapak cadangan pada tahun tahun 2012 dan pembinaan logi janakuasa nuklear bermula pada tahun 2015.

Kita orang Jerantut, jangan risau kerana kita akan guna teknologi nuklear generasi ke tiga yang lebih selamat, mesra alam dan tahan lama. Kebimbangan orang ramai ialah jika berlaku kebocoran radioaktif nuklear,terdedah kepada pancaran gamma dan loji nuklear meletup. Kita akan pastikan kes Chernobyl tidak akan berulang. Itu kesilapan "human error" bila berlaku perubahan kerajaan di Rusia-Kesatuan Soviet Union dulu.

Kita akan guna kepakaran teknologi tercanggih Perancis, Rusia dan pelajari amalan teknologi China, Jepun dan Korea Selatan serta gabungan teknologi. Perpindahan teknologi boleh membantu kepakaran nuklear tempatan terutama pekerja profesional Bumiputera.

Kita akan pastikan aspek keselamatan dan persekitaran daripada impak projek diutamakan. Juga kaedah pembuangan sisa bahan radioaktif tinggi mengikut sistem dan peraturan-peraturan piawai antarabangsa.

WZWH telah menjelaskan dengan panjang lebar mengapa rakyat Jerantut perlu menyokong usul pembinaan logi janakuasa nuklear di Lembah Tembeling. WZWH harap orang Jerantut faham betapa negara perlu kepada tenaga dari sumber baru yang lebih bersih, selamat dan jimat kos dari segi jangka panjang dan kesan impak besar kepada ekonomi Jerantut.

YAB PM Najib menunggu respon dari anda semua rakyat Jerantut...

Posted by WZWH at 4:39 AM 0 comments

No comments: